Sejarah Sekolah

SMK Peramu Jaya adalah merupakan sebuah sekolah menengah harian jenis bantuan Sekolah Kerajaan yang memulakan operasi tanggal 13 Januari 2005. Terletak di tengah-tengah kawasan perumahan dan penempatan penduduk sekitar Taman Rendang, Taman Seri Maulana, Kampung Pulau Jawa, Perumahan Peramu Jaya 01, Taman LKNP dan Kampung Peramu, maka ia sering menjadi tumpuan dan perhatian penduduk setempat.




Pada tahun pertama penubuhannya iaitu pada 2005, seramai 406 orang pelajar telah didaftarkan sebagai pelajar SMK Peramu Jaya dengan bilangan pelajar tingkatan satu seramai 180 orang, pelajar tingkatan dua seramai 105 orang, pelajar tingkatan tiga seramai 56 orang dan pelajar tingkatan empat seramai 65 orang. Pelajar-pelajar ini adalah dari dua buah sekolah menengah berhampiran iaitu SMK Dato’ Mahmud Mat dan SMK Tengku Abdullah. Sebanyak 12 buah kelas dibuka dengan bilangan tenaga pengajar seramai 24 orang.



Tahun kedua iaitu 2006 memperlihatkan peningkatan bilangan pelajar kepada 553 orang dengan jumlah kelas yang dibuka sebanyak 17 buah dan bilangan guru seramai 33 orang. Pada tahun tersebut pengambilan pelajar tingkatan satu adalah dari enam buah sekolah rendah berhampiran iaitu SK Peramu Jaya, SK Seri Biram, SK Seri Maulana, SK Langgar, SK Tanah Putih dan SK Pekan Jaya.